Resort 'pancing' tawar 1001 keseronokan


SEPANJANG berjalan kaki sejauh beberapa meter dari pekan Batu Kurau ke Kurau Stone Fishing and Highland Stay yang terletak di 839, Kampung Batu Bertindan, Changkat Perah, Batu Kurau, Perak, timbul tanda-tanya di fikiran penulis tentang apa istimewanya calet tersebut berbanding dengan calet lain.

Persoalan itu timbul ekoran maklum balas positif yang diberikan kepada calet tersebut oleh beberapa pelayar di laman sesawang yang menyifatkan calet itu antara pilihan terbaik untuk 'si kaki' pancing menginap.

Sebaik sahaja kaki penulis menjejaki calet tersebut, penulis akui semua komen yang diberikan itu adalah benar. Ini kerana berada di lokasi yang menempatkan sebanyak 14 buah calet itu akan membuatkan pengunjung merasakan seolah-olah seperti bercuti di tanah tinggi.

Hal ini kerana kedudukan calet tersebut yang dibina di tanah berbukit dengan dikelilingi keindahan flora dan fauna, sekali gus menjadikan lokasi penginapan tersebut cukup istimewa bagi mereka yang inginkan percutian 'privacy'.

Kekaguman tersebut tidak terhenti setakat itu apabila pandangan mata kemudiannya disajikan dengan pemandangan tiga buah kolam memancing ikan yang sedia menunggu joran si kaki pancing.

Penolong Pengurus Kurau Stone Fishing and Highland Stay, Kamaruddin Rahim berkata, calet tersebut mula beroperasi pada Januari 2010 dengan permulaan dua buah calet sebelum ditambah lagi.

Calet tersebut katanya, terbahagi kepada tiga kategori iaitu Arabic, Tradisional dan Batang Pinang yang mana harga setiap calet ditawarkan daripada RM69 hingga RM135 semalam.

Tambahnya, setiap bilik dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas sama seperti hotel lain bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.

''Cerita bagaimana terbinanya calet ini cukup panjang. Pada mulanya, tempat ini merupakan ladang ternakan lembu sebelum kolam memancing ikan dibuka kepada pengunjung.

''Apabila kolam memancing dibuka, ada pengunjung dari jauh dan dekat meminta agar disediakan restoran dan tempat menginap. Maka, daripada situlah, tercetusnya idea untuk membina calet dan apabila melihatkan sambutan yang diterima, kami menambah bilangan calet sehingga siap 14 buah kesemuanya," katanya kepada S2 baru-baru ini.

Menurutnya, bagi si kaki pancing, tiga buah kolam yang disediakan di calet itu mampu membuatkan mereka tersenyum lebar apabila tiada istilah pulang dengan tangan kosong sebaik sahaja melontarkan mata kail di dalam kolam berkenaan.

Katanya, ikan seperti tongsan, patin, keli dan ara antara jenis ikan yang terdapat di kolam tersebut.

''Bagi si kaki pancing, mereka hanya perlu membayar RM25 bagi merasai keseronokan memancing selama lima jam. Setiap malam tempat ini dikunjungi tidak kurang daripada 30 orang pemancing tegar," ujarnya.

Tambahnya, berikutan sambutan baik yang diterima, pihaknya turut menawarkan penginapan dorm yang dilengkapi dewan serbaguna dan boleh menampung sehingga 150 tetamu dalam satu masa.

"Penginapan jenis itu sesuai untuk mana-mana agensi dan persatuan yang ingin mengadakan seminar atau program motivasi di resort ini," ujarnya.

Katanya, sekiranya dorm tersebut tidak mampu menampung jumlah kehadiran pengunjung yang ramai, pihaknya turut menawarkan tapak perkhemahan bagi membolehkan pengunjung menjalankan aktiviti mereka.

''Di tanah seluas 21 hektar ini, kami bukan sahaja menyediakan calet dan kolam memancing, malah turut menawarkan pelbagai aktiviti lasak termasuk flying fox, abseiling, mencari harta karun, merentas hutan, ikhtiar hidup dan merentas halangan," katanya.

Kamaruddin berkata, sejak calet itu dibuka, sambutan yang diterima sangat baik sama ada daripada penduduk tempatan mahupun dari luar.

Katanya, sambutan hangat tersebut diberikan pengunjung khususnya pada cuti hujung minggu dan cuti persekolahan yang mana pengunjung yang datang bukan hanya daripada penduduk setempat, malah ada yang datang dari Johor dan Kuala Lumpur.

''Sambutan yang diberikan pengunjung cukup baik, ada di antara pengunjung yang datang ke sini akan kembali semula kerana seronok bercuti di sini," katanya.


0 comments: