Media perlu lapor secara tepat tugas ATM
Pengamal media perlu memainkan peranan penting untuk menyampaikan maklumat yang tepat dan telus tentang bidang tugas pasukan keselamatan negara termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, laporan disediakan perlu memberikan imej yang sebenar dan bukannya mengelirukan sekali gus membolehkan maklumat tepat disampaikan dengan lebih berkesan.
"Seperti dalam Op Daulat sebelum ini, pengamal media dilihat berjaya memberikan laporan yang positif dan benar.
"Semua laporan ini dapat meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dan memartabatkan imej ATM dalam menghadapi situasi ancaman dan tidak tunduk kepada manipulasi maklumat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutup program Lawatan Editor Kanan Media bersama Kementerian Pertahanan dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kem TUDM Jugra baru-baru ini.
Yang turut hadir Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Ackbal Abdul Samad; Pengerusi Program, Datuk Azizon Ariffin dan Pegawai Memerintah Rejimen TUDM, Kolonel Mohamed Nazri Dashah.
Abdul Rahim berkata, pada masa ini ATM yang melibatkan kesemua cabangnya berada dalam keadaan bersiap sedia dengan sebarang ancaman dan moral mereka juga sangat tinggi.
"Mereka telah menunjukkan kemampuan tempur dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan.
"Kita bersedia terhadap ancaman non state actors dan jenayah rentas antarabangsa yang harus dihadapi di negara ini dan Asia Tenggara," katanya.
Program Lawatan Editor Kanan Media diadakan selama dua hari mulai semalam melibatkan penyertaan sebanyak 60 petugas dan kakitangan media tanah air.
Sepanjang program itu, peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti antaranya menyelam, abseiling, paintball, pertandingan menembak, pengembaraan dalam hutan menggunakan alat pandang malam dan bermalam di puncak Bukit Jugra.
0 comments: