Pengalaman luar biasa bermalam di hotel pesawat


INGIN merasai pengalaman berada di dalam kapal terbang, walaupun anda takut dengan ketinggian? Kini anda bukan sahaja boleh berbuat demikian, malah boleh merasai keselesaan bermalam di dalam pesawat.

Hotel Jumbo Stay yang dibina menggunakan sebuah kapal terbang lama jenis Boeing 747, menawarkan khidmat penginapan sama seperti sebuah hotel.

Hotel itu terletak di lapangan terbang Arlanda, berhampiran Stockholm di Sweden.

Pesawat yang pada asalnya boleh memuatkan 450 penumpang itu telah diubah suai untuk menempatkan 27 bilik hotel dengan pelbagai pilihan.


Setiap bilik juga menawarkan televisyen skrin rata dan perkhidmatan Internet tanpa wayar seperti yang biasa ditawarkan oleh syarikat-syarikat perhotelan.

Namun, Jumbo Stay turut menawarkan satu pakej bilik premium yang membolehkan pengunjung menginap di sebuah bilik suite yang pada asalnya adalah kokpit pesawat yang yang telah diubah menjadi bilik hotel.

Suite yang mengekalkan keadaan asalnya itu turut menawarkan pemandangan lapangan terbang Arlanda. Selain dibuka untuk penginapan, Jumbo Stay turut boleh disewa untuk mereka yang mahu mengadakan seminar atau persidangan.

Dibuka 24 jam dan tujuh hari seminggu, hotel itu menawarkan harga yang berpatutan dari serendah 42 pound (RM216) hingga 170 pound (RM872) semalam.

Meskipun telah diubah suai menjadi sebuah hotel, bentuk-bentuk asal kapal terbang itu masih dikekalkan bagi membolehkan pengunjung merasai keunikan menginap di dalam hotel pesawat itu. Hotel pesawat itu diasaskan oleh seorang ahli perniagaan Sweden, Oscar Divs.


Divs telah membeli sebuah pesawat Boeing 747-200 yang dibina pada tahun 1976 daripada syarikat penerbangan Sweden, Transjet, yang muflis pada tahun 2002.

Menurut Divs, dia membeli kapal terbang itu pada 2006 untuk memperluaskan perniagaan perhotelannya.

"Selama ini saya telah lama bercita-cita untuk membina hotel di Arlanda dan sejurus selepas mendengar sebuah pesawat lama mahu dijual, tanpa berfikir panjang saya mengambil peluang itu," katanya.

Bagaimanapun, bagi mereka yang mahu melakukan perjalanan, Jumbo Stay bukanlah pilihannya kerana pesawat itu sebenarnya tidak lagi boleh terbang.


0 comments: