Usul Kesatuan Eropah Terhadap Undang-Undang MKN Yang ‘Mengelirukan’



Ahli-ahli politik menyifatkan langkah kesatuan Eropah mengeluarkan resolusi menggesa Kerajaan Malaysia untuk menarik balik rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara yang baru diluluskan sebagai sesuatu yang membingungkan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak semalam memberitahu bahawa setiap negara termasuk Malaysia mempunyai hak untuk melindungi rakyatnya daripada sebarang kemungkinan ancaman keselamatan.

“Perancis juga baru meluluskan undang-undang keselamatan yang baru. Malah Amerika Syarikat juga mempunyai undang-undang keselamatan. Dalam keadaan sekarang,  semua negara perlu mempunyai rancangan luar jangka dalam menghadapi sebarang kemungkinan ancaman keselamatan.

“Jadi, kita perlu mempunyai undang-undang keselamatan sama seperti yang dimiliki Barat dan Amerika Syarikat. Ia adalah hak Malaysia untuk melindungi nyawa rakyatnya sepertimana yang dilakukan negara-negara lain,” beritahunya kepada New Straits Times semalam.

Parlimen Eropah pada Khamis lalu memberitahu bahawa ia bimbang dengan kandungan Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara, dan menggesa kerajaan Malaysia untuk menarik balik dan melepaskan banduan politik.

Parlimen Eropah turut meminta Malaysia untuk menarik balik undang-undang anti liwat dan memanggil Perkhidmatan Tindakan Luar Eropah (European External Action Service), selaras dengan garis panduan Kesatuan Eropah berkenaan perlindungan dan sokongan hak orang LGBTI (lesbian, gay, biseksual, transgender, dan interseks), bagi menjalankan kerjanya terhadap hak-hak orang LGBTI di Malaysia yang mengalami ‘keganasan dan penganiayaan’.

Salleh yang juga merupakan Senator dalam Dewan Negara, menolak dakwaan bahawa kerajaan telah menahan individu di atas kepercayaan atau tindakan berkaitan politik.

“Apabila orang Barat bercakap tentang banduan politik, mereka kebiasannya merujuk kepada pemimpin pembangkang yang mungkin dipenjarakan disebabkan kesalahan jenayah. Hakikat bahawa kemungkinan mereka adalah pemimpin pembangkang bukanlah satu isu.

“Isunya adalah mereka dipenjarakan kerana melakukan jenayah. Dan itu tidak menjadikan mereka sebagai banduan politik.

“Inilah masalahnya dengan orang Barat. Mereka mengabaikan hakikat bahawa Malaysia mempunyai undang-undang dan jika anda melanggar undang-undang tersebut, anda akan menghadapi risiko dipenjarakan,” kata bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah itu.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri S.K. Devamany berkata ahli-ahli Parlimen Eropah (MEPs) tidak mempunyai bidang kuasa atau sebarang kuasa untuk menentukan syarat-syarat untuk sebuah negara berdaulat.

“Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara telah diluluskan di Parlimen melalui proses yang demokratik.

“Tekanan politik yang diletakkan oleh MEPs kepada kita adalah secara demokratiknya salah,” kata Devamany, yang juga merupakan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak.

Beliau berkata, berikutan serangan pengganas di Eropah, Malaysia perlu meletakkan undang-undang yang kukuh bagi mengelakkan serangan pengganas dan membendung fanaticism di sini.

“Kita perlu memastikan bahawa undang-undang ini tidak disalahgunakan.

“MEPs sepatutnya tidak keliru antara keperluan undang-undang tersebut dan proses pelaksanaannya. Mereka dialu-alukan untuk memberi komen terhadap pelaksanaan undang-undang tersebut.

“Tetapi, mereka tidak mempunyai hak untuk untuk masuk campur dengan proses penggubalan undang-undang negara.”

Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata Kesatuan Eropah tidak sepatutnya campur tangan dalam hal-hal negara berdaulat.

“Kita menghadapi ancaman yang menekankan ekstremisme dan keganasan. Kita sepatutnya dibenarkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga tanpa sebarang kuasa luar yang mempunyai agenda tersendiri untuk memberitahu kita apa yang perlu dilakukan.

“Kebimbangan kita yang utama adalah keselamatan negara dan menghadapi ancaman keganasan yang sebenar.”

Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara menubuhkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), sebuah kuasa pusat yang bertanggungjawab dalam mengawasi hal-hal berkaitan ‘keselamatan negara’ – satu konsep yang gagal dijelaskan oleh rang undang-undang tersebut.

Majlis dianggotai oleh 8 ahli, diketuai oleh Perdana Menteri, dan disertai oleh Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Menteri Perumahan, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara.

Artikel 18 dalam deraf rang undang-undang memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk mengiktiraf ‘kawasan keselamatan’ untuk mana-mana kawasan yang dianggap oleh MKN sebagai “diganggu atau diancam oleh mana-mana pihak, atau apa sahaja yang dianggap membawa kemudaratan kepada rakyat”.

Pengiktirafan sesebuah kawasan keselamatan pada mulanya hanya sah untuk tempoh selama enam bulan dan mungkin diperbaharui untuk dipanjangkan selama enam bulan.

Pengiktirafan kawasan keselamatan dan tempoh lanjutan perlu diluluskan oleh kedua-dua Parlimen.

0 comments: