Penyangak mata wang kahwin kali ketiga


Pelabur jutawan, George Soros, 83, yang juga merupakan seorang penyokong fahaman politik liberal berkahwin buat kali ketiga dengan seorang perunding pendidikan, Tamiko Bolton kelmarin.

Soros dan Bolton, 42, berkahwin dalam satu majlis kecil di sebuah estet di Bedford di sini yang dibelinya daripada penulis filem Jurassic Park, Michael Crichton.

Menurut sumber dalaman, hakim persekutuan, Kimba Wood merasmikan perkahwinan tersebut yang dihadiri oleh ahli keluarga, termasuklah lima anak Soros hasil perkahwinannya terdahulu.

Menurut majalah Forbes, ia merupakan perkahwinan kali ketiga Soros yang memiliki kekayaan sebanyak AS$20 billion (RM63 billion) dan kedua bagi Bolton.

Pertukaran ikrar perkahwinan pasangan itu kemudian diikuti dengan majlis resepsi yang diadakan di Pusat Caramoor untuk Muzik dan Kesenian di kompleks Westchester. Kira-kira 500 tetamu hadir pada majlis tersebut.

Antara tetamu yang hadir ialah Presiden Bank Dunia, Jim Yong Kim dan beberapa pemimpin negara seperti Presiden Estonia, Toomas Hendrik Ilves; Presiden Liberia, Ellen Johnson Sirleaf dan Perdana Menteri Albania, Edi Rama.

Soros bertemu dengan Bolton pada majlis makan malam pada 2008. Pasa- ngan itu kemudian mengumumkan pertunangan mereka pada Ogos 2012.



0 comments: