Kemiskinan Punca Terjebak Gangsterisme
PETALING JAYA: Di tengah-tengah belukar, satu upacara kecil diadakan. Kelihatan taiko (ketua) berdiri di samping beberapa orang kanannya.
Seramai 40 ahli baru, mendekatinya lalu melutut dan tunduk sebagai tanda penghormatan.
Salah seorang orang kanannya tampil ke hadapan, menyambar tangan
mereka lalu menorehnya sebelum menadah darah itu ke dalam cawan.
Kemudian, dia mencampur brandi ke dalam cawan yang dipenuhi darah itu.
Kesemua ahli baru itu kemudiannya minum darah bercampur brandi itu.
Begitulah bagaimana Ramu (bukan nama sebenar) menjadi ahli kumpulan Geng 18. Dia hanya berusia 17 tahun.
Ramu berkata kemiskinan mendorongnya untuk menyertai kumpulan itu dan melihatnya sebagai satu cara untuk hidup mewah.
"Kumpulan itu diketuai oleh taiko berbangsa Cina. Anda tidak
berkesempatan melihatnya dan beberapa orang kanan kumpulan sehingga hari
Satu Hati.
"Hari ini, mereka berkata Satu Hati adalah sebuah kumpulan. Saya
tidak tahu. Mengimbas kembali zaman saya, Satu Hati adalah upacara
pengenalan. Selepas minum minuman campuran darah dan brandi, kami
menjadi saudara.
"Saya ditugaskan untuk mengedar dadah. Seorang lelaki akan membawa
satu bungkus heroin dari Pulau Pinang. Ia kelihatan seperti batu-bata.
Di dalam kereta api, dia akan meninggalkan bungkusan itu di tempat
duduknya. Saya kemudiannya akan mengambil bungkusan itu dan membawanya
ke Johor - dengan kereta, bas dan juga motosikal - melalui semua pekan
kecil.
"Di dalam bas, saya akan meninggalkan beg berisi dadah di ruang
bagasi manakala pakaian saya dibawa dalam beg galas. Dengan cara itu,
jika polis menjumpai dadah tersebut, saya akan menafikan segalanya dan
hanya berkata saya hanya membawa beg galas. Nasib baik, saya tidak
pernah tertangkap.
"Ketika itu lebih 10 tahun lalu. Saya dibayar RM15,000 untuk setiap perjalanan.
"Kami juga perlu mengadakan rundingan. Kami akan berbincang dengan
beberapa ketua kumpulan lain jika sesiapa langgar kawasan. Jika gagal
mencari jalan penyelesaian, kami akan menyuruh dua individu terlibat
menyelesaikan. Ahli-ahli dua kumpulan itu tidak boleh campur tangan.
"Itu adalah gangsterisme 'gentleman'. Hari ini, golongan muda
datang dari arah belakang dan melepaskan tembakan ke arah anda, atau
mereka bergerak dalam kumpulan dan menetak beberapa rakan lain,"
katanya.
Ramu berkata dia berhenti melakukan perkara itu selepas dua insiden.
Pertama, bapanya meninggal dunia dan dia menjadi ketua keluarga.
"Saya perlu menjaga keluarga, jadi saya tidak boleh mengambil risiko
ditangkap. Namun saya masih terlibat dalam pergaduhan melibatkan
kumpulan. Pada suatu hari, kami ada pergaduhan tetapi saya tidak dapat
menyertainya kerana ada urusan keluarga.
"Rakan-rakan saya yang menyertai pergaduhan itu antara yang ditangkap
dan dipenjara di bawah Ordinan Darurat (EO). Saya bersumpah untuk
meninggalkan kegiatan itu dengan sendirinya.
"Taiko kumpulan itu masih ingat pada saya. Dia kadangkala melawat
saya dan kami pergi minum bersama. Dia tidak pernah meminta saya untuk
kembali dan saya tidak akan berbuat begitu."
Ramu mungkin tersilap mengenai satu perkara. Terdapat satu kumpulan dikenali sebagai Satu Hati.
Vasu menyertai kumpulan itu. Dia memberitahu bagaimana, sebagai seorang yang masih muda, dia begitu lemah dalam pelajarannya.
"Saya sering ponteng sekolah dan keluar bersama dengan rakan-rakan.
Kami sering terlibat dengan pergaduhan kecil dan kemudian merompak.
Akibatnya, saya dibuang sekolah selepas itu.
"Dengan tiada apa yang dapat dilakukan, saya datang ke KL. Tiada
kerja kosong, jadi saya terjebak dengan kumpulan jahat. Kemudian,
seseorang mendekati saya dan meminta untuk menyertai Geng Satu Hati.
"Upacara pengenalan dimulakan dengan angkat sumpah. Kami dibawa ke
kuil terpencil dan diminta mengangkat sumpah untuk tidak mengkhianati
kumpulan itu. Kami juga perlu menoreh jari dan minum darah tersebut pada
upacara itu.
"Beberapa orang kanan memberitahu saya mereka diminta untuk menoreh
tangan dan mengangkat tangan bersama sebagai tanda 'darah saudara'.
"Namun saya fikir gengster juga takut dengan HIV atau AIDS," selorohnya.
Setiap ahli perlu membayar yuran menyertai kumpulan itu. Dalam kes
Vasu, dia perlu membayar RM101 sebulan. Namun dia boleh memperoleh wang
lebih banyak daripada itu. Dan RM101 itu sebagai dana untuk membayar
ikat jamin dan membeli senjata serta membantu keluarga ahli kumpulan
yang terbunuh.
"Kami berada dalam perlindungan kegiatan haram. Terdapat banyak
tempat untuk kami melakukan peras ugut. Kami memperoleh banyak wang.
Jadi RM101 begitu sedikit. Namun apa saja yang diperoleh, kami akan
gunakan untuk minum dan berseronok. Ia hanya kehidupan yang sia-sia."
Kumpulan itu akan meminta salah seorang ahli untuk mendapatkan
pekerjaan di kilang-kilang untuk mendapatkan maklumat mengenai
barang-barang dan tempat simpanan wang.
"Apabila mereka sudah ada maklumat secukupnya, mereka akan bertindak," kata Vasu.
Menurutnya, terdapat tiga atau empat ketua utama dalam kumpulan itu.
Mereka akan meminta ahli-ahli kumpulan untuk bekerja dengan VIP.
"Kami sering bekerja untuk Datuk dan Tan Sri, melindungi tapak kerja
mereka dan perkara seperti itu. Kami adalah orang upah mereka.
"Jika kami ditangkap, ketua kumpulan atau VIP akan memberi rasuah
kepada polis untuk membebaskan atau mengikat jamin kami. Setiap kali
bebas, kami menjadi lebih berani kerana tahu kami boleh lepas dengan apa
jua cara sekalipun," katanya.
Vasu dilatih untuk menjadi orang kanan yang dipercayai salah seorang ketua kumpulan itu.
Namun ketuanya diculik, mati ditembak dan dikebumikan di dalam estet.
"Kini, isteri dan anak-anaknya menderita. Itu amat menyedihkan.
"Oleh itu, saya berhenti dan meninggalkan kumpulan tersebut. Sejak
dari itu, saya tidak pernah lagi menoleh ke belakang," katanya yang kini
menguruskan perniagaan sendiri.
0 comments: