Kajian PBB: 23% lelaki Asia mengaku pernah merogol
Hampir satu perempat lelaki di beberapa bahagian di Asia mengaku pernah memperkosa wanita sekurang-kurangnya sekali.
Pendedahan memeranjatkan itu diperoleh menerusi satu kajian Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kekerasan terhadap wanita yang diketuai oleh Dr. Emma Fulu.
Kajian itu melibatkan hampir 10,000 responden dari enam negara iaitu Papua New Guinea, Indonesia, Sri Lanka, Bangladesh, Kemboja dan China.
Kajian itu adalah yang pertama kali dibuat secara multi-nasional yang bertujuan mengkaji sejauh mana meluasnya kekerasan terhadap wanita dan punca di sebalik gejala tersebut.
Bagaimanapun, kajian berkenaan diakui tidak mewakili seluruh karakteristik keseluruhan wilayah Asia dan Pasifik.
Berdasarkan statistik, satu daripada sepuluh lelaki terbabit juga mengaku pernah memperkosa wanita yang bukan pasangannya.
Kurang separuh daripada mereka yang pernah memperkosa itu pula membuat pengakuan melakukan perbuatan terkutuk itu lebih daripada sekali.
Berikut adalah dua contoh soalan yang dikemukakan pada kajian berkenaan:-
Apakah anda pernah melakukan hubungan seks dengan pasangan anda ketika anda tahu dia tidak mahu tetapi anda fikir dia harus setuju kerana dia adalah isteri/pasangan anda?
Apakah anda pernah melakukan hubungan seks dengan seorang wanita atau gadis ketika dia terlalu mabuk atau dibius tanpa peduli sama ada dia ingin atau tidak?
Pelbagai Alasan
Berdasarkan soalan-soalan yang diberi, enam daripada sepuluh jejaka di Papua New Guinea yang disoal mengaku memaksa wanita untuk melakukan hubungan seks.
Ia berbeza berbanding Bangladesh, di mana kurang satu daripada sepuluh lelaki melakukan perbuatan tersebut.
Sementara di Kemboja, China dan Indonesia, angkanya berbeza-beza.
Dalam pada itu, sekitar tiga perempat responden yang melakukan perkosaan mengaku melakukannya kerana alasan ‘hak seksual’.
Dr. Emma berkata, mereka percaya memiliki hak untuk mengadakan hubungan seks dengan wanita tanpa mempertimbangkan kerelaan wanita terlebih dahulu.
“Alasan umum lain daripada mereka yang memperkosa adalah untuk mendapatkan hiburan, untuk mencari kesenangan atau kerana mereka bosan.”
Mereka juga melakukan perbuatan berkenaan kerana mahu memberi ‘hukuman’ atau kerana marah.
“Bagaimanapun sedikit mengejutkan dalam kajian ini ialah apabila pengaruh alkohol merupakan dorongan merogol paling rendah,” kata Dr. Emma.
Sebahagian daripada hasil kajian itu sudah diterbitkan dalam jurnal Lancet Global Health.
0 comments: