Jana kekayaan hasil peperangan
DALAM setiap peperangan pasti ada nyawa yang melayang. Mungkin yang terkorban adalah tentera yang tugasnya mempertahankan negara tetapi ada juga nyawa tidak berdosa menjadi taruhan.
Sudah tentu dalam setiap peperangan nyawa ibarat di hujung tanduk. Namun hakikatnya ada pihak dan syarikat yang membuat keuntungan setiap kali berlakunya perang.

Hakikatnya peperangan tidak pernah memberi manfaat yang jelas kepada manusia kecuali kepada mereka yang gilakan kuasa dan tamakkan harta.
Amerika Syarikat (AS) merupakan sebuah negara yang sering menggunakan alasan peperangan untuk mengabui mata banyak pihak.
Alasan untuk peperangan direka-reka dan dimanipulasi sedangkan kebenarannya ada udang di sebalik batu.
Banyak syarikat dan industri berasaskan senjata yang mendapat keuntungan berbilion dolar hasil peperangan yang direka-reka.
Lebih menjijikkan ada pula pemimpin yang berselindung di belakang perang dengan membenarkannya berlaku, untuk mengaut keuntungan seperti yang berlaku melibatkan Naib Presiden AS, Dick Cheney dan syarikat Halliburton.
Malangnya cukup banyak syaitan bertopengkan manusia hidup senang dengan mengaut keuntungan atas kesengsaraan dan air mata orang lain yang terseksa akibat peperangan.
PERANG VIETNAM
PENYERTAAN AS dalam Perang Vietnam bermula sejak pertengahan 1950-an lagi terutama dalam projek melibatkan pembangunan dan mentransformasi negara itu menjadi sebuah negara moden dan lengkap dengan fasiliti dan kemudahan.
Dengan bantuan kontraktor AS antaranya Universiti Michigan State, firma pembinaan Johnson, Drake and Piper, ramai pakar dan pekerja mahir dibawa masuk.
Antara yang dibawa masuk, anggota polis, pegawai kerajaan, pakar pertanian, pendidikan dan kewangan serta mereka yang mahir dengan propaganda, perisikan dan media.
Bandar Saigon dijadikan ibu negara untuk projek transformasi ini dengan bantuan rejim tentera Ngo Dinh Diem yang mengawal keadaan termasuk membunuh dan memenjara mereka yang tidak sehaluan.
Sistem komunikasi tercanggih dipasang manakala kad pengenalan diperkenalkan bagi memudahkan urusan pemantauan selain Biro Siasatan Pusat Vietnam yang meniru FBI ditubuhkan bagi membantu rejim Ngo Dinh Diem melebarkan kuasa dan pengaruh.
Menjelang 1960 sebanyak AS$1.4 bilion telah dihabiskan untuk misi ini. Namun wang itu ditabur sia-sia setelah pemberontakan rakyat berlaku besar-besaran sekali gus mengakibatkan AS meningkatkan jumlah tenteranya.
Daripada 680 anggota tentera, jumlahnya ditingkatkan oleh Presiden John F. Kennedy kepada 16,000 orang. Jumlah tersebut terus diperhebat kepada 23,000 dan 385,000 dan kemuncaknya 542,000 oleh dua presiden berikutnya, Lyndon B. Johnson dan Richard Nixon.
Penambahan jumlah anggota tentera ini turut bermaksud penyediaan lebih banyak kemudahan tentera melibatkan enam pelabuhan, enam pangkalan tentera, 12 lapangan terbang tentera, 20 kem tentera lengkap dengan perumahan untuk 450,000 orang.
Sebanyak AS$700 juta dana tambahan diberikan untuk menjana projek ini dan dianggarkan lebih AS$2 bilion dihabiskan sepanjang perang itu berlangsung.
Menjadikan keadaan lebih rumit hanya sebuah konsortium dari AS diberikan kontrak pembinaan ini tanpa melibatkan sebarang proses bidaan. Syarikat berkenaan RMK-BRJ (Raymond International, Morrison-Knudsen, Brown & Root, and J.A. Jones Construction) diberi gelaran sebagai The Vietnam Builders.
Syarikat ini kemudiannya disiasat kerana didakwa terlibat dalam rasuah dan menaja kempen Presiden Johnson.
Namun yang jelas Perang Vietnam adalah satu kegagalan besar AS dalam bertindak sebagai polis dunia selain gagal dalam peperangan proksi antara AS dan Kesatuan Soviet.
Yang pasti syarikat yang mendapat projek berbilion dolar dalam perang ini adalah pihak yang untung walaupun keuntungan itu berlaku hasil tangisan dan darah manusia yang mengalir.
0 comments: